Monday, 11 January 2016

SEJARAH SEKOLAH


    Bermula pada tahun 1940, terdapat sekumpulan masyarakat di Kampung Jerang yang berasa perlu diwujudkan suatu sistem pendidikan yang teratur dan efisen bagi mendidik anak-anak kampung. Sehubungan dengan itu, sebuah sekolah Arab telah dibentuk di Kampung Jerang dengan menjadikan masjid sebagai institusi pendidikan yang pertama. Bermula dari saat itu, ramailah anak-anak tempatan yang datang menuntut ilmu, seterusnya mendapat pendidikan agama daripada guru-guru yang berkebolehan ketika itu. Namun, panas yang diharapkan hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Biarpun berharap agar sekolah ini dapat melahirkan ramai para ulama, namun segala-galanya lenyap apabila berlakunya Perang Dunia Kedua. Sekolah ini terpaksa ditutup pada tahun 1942-1945 kerana peperangan tersebut. Peperangan ini memperlihatkan tentera Jepun berjaya menguasai keseluruhan Tanah Melayu. Oleh sebab itu, sekolah Arab ini telah berkubur sebelum waktunya.




    Setiap kejadian ada hikmahnya. Peristiwa hitam bersejarah ini telah dapat melahirkan seorang insan yang ingin melihat anak bangsanya berjaya dan berilmu. Oleh sebab itu, selepas tamat pemerintahan tentera Jepun di Tanah Melayu, Ustaz Syed Joned telah berusaha untuk menubuhkan kembali Sekolah Arab yang tergendala akibar peperangan tersebut.Beliau telah dilantik menjadi Guru Besar sekolah berkenaan bermula daripada tahun 1946 sehingga 1948. Namun, sekali lagi pengajian di sekolah ini tertangguh kerana Tanah Melayu diisytiharkan darurat sehingga tahun 1950. Pada tahun 1958, sekolah Arab Kampung Jerang  ini telah dibuka semula di bawah pentadbiran orang yang sama iaitu Ustaz Syed Joned. Sekolah berkenaan telah diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam pada ketika itu.Ustaz Syed Joned juga dibantu oleh beberapa tenaga pengajar yang lain.



    Pada tahun 1960, sekolah ini telah diambil alih oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan diberi nama SMRA Teriang Hilir. Sekolah Arab ini turut mempunyai bangunan sendiri dan tidak lagi menumpang di masjid. Upacara perasmiannya telah dirasmikan oleh Tok Empat Arshad bin Kassim dan Encik Rashid. Kemudian, sekolah ini ditadbir oleh Ustaz Haji Alias bin Haji Jadid dibantu oleh tiga orang tenaga pengajar.Sekolah ini hanya mempunyai tiga buah bilik darjah dan sebuah bilik pejabat merangkumi bilik guru.Murid-murid yang belajar di sekolah ini terdiri daripada anak-anak tempatan yang tinggal di sekitar Teriang Hilir, Pasoh 1, Pasoh 4 dan Simpang Pelangai Pahang. Sukatan pelajarannya juga selaras dengan Sistem Pendidikan Malaysia. Dari tahun ke tahun, jumlah pelajar yang mendaftar semakin bertambah. Hal ini kerana, para ibu bapa mulai sedar akan kepentingan menuntut ilmu dalam kalangan anak-anak mereka. Selaras dengan perkembangan kemajuan dunia semasa, satu perubahan perlu dilakukan agar pendidikan yang diterima oleh anak-anak tempatan mampu memenuhi kehendak semasa. 



    Satu kawasan yang sesuai telah dikenal pasti untuk dijadikan kawasan sekolah yang baru dan lebih besar. Sekolah baru ini akan didirikan di kawasan Simpang Durian. Pada 10 Julai 1997, secara rasminya pelajar-pelajar SMRA Teriang Hilir telah berpindah ke bangunan baru yang lengkap dengan segala kemudahan termasuklah asrama. Nama sekolah ini juga telah ditukar kepada Sekolah Menengah Agama Jelebu. Setelah hampir lima tahun beroperasi, akhirnya sekolah ini dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Utama Tan Sri Isa bin Dato Haji Abd Samad. (Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu) Pada 12 April 2004 bersamaan dengan 18 Muharam 1422 Hijrah. Sekolah ini juga turut diberi nama baru iaitu SMA Dato' Haji Tan Ahmad (SMADATA) sempena dengan nama seorang tokoh tempatan yang juga ulama dan bekas Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan bagi mengenang jasa dan menghargai sumbangan beliau dalam meningkatkan syiar Islam.

No comments:

Post a Comment